Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Program Penyerahan Kunci CSR Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal di Kampung Bukit Tambun, Durian Tunggal hari ini.

MELAKA – Melaka menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan jawatankuasa sesebuah masjid dan surau untuk menentukan jarak saf solat antara jemaah.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan kedudukan saf yang mungkin berbeza mengikut keperluan dan keadaan semasa.

“Kalau jemaah di sesebuah masjid ramai rapatlah saf tapi kalau masjid itu tiada ada orang macam saya solat Subuh pagi tadi, macamana kita hendak minta rapat saf?

“Buat masa ini, kita ada varian baru Omicron, jadi eloklah kita tak terlampau rapat sangat. Kita rapatkan perlahan-lahan secara berperingkat bergantung kepada keadaan dan situasi semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyerahan Kunci CSR Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal di Kampung Bukit Tambun, Durian Tunggal hari ini.

Ditanya adakah kerajaan negeri bercadang mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung prosedur operasi standard (SOP) baharu itu seperti mana diumumkan Perlis sebelum ini, Sulaiman berkata, tiada keperluan berbuat demikian.

“Nak keluar kenyataan ini tak payahlah…Allah bagi kita akal gunakan baik-baik niat kerana Allah. Terserah pada jawatankuasa masjid, rapatkan sikit pun tak apa ikut kebijaksanaan.

“Pada waktu sama patuhlah pada SOP, kita bagi rapat pun tak penuh masjid itu jadi terpulanglah. Masjid di Melaka ini pun besar-besar,” katanya.

Sebelum ini, Perlis mengumumkan kebenaran jemaah solat di masjid di seluruh negeri merapatkan saf berkuat kuasa waktu Subuh, hari ini selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa penularan Covid-19 di negeri berkenaan.

Keputusan itu juga dibuat selepas meneliti kadar 100 peratus vaksinasi lengkap, selain peningkatan dos penggalak di Perlis yang mencapai kadar 16.9 peratus atau 30,575 penerima setakat 2 Januari lalu.- MalaysiaGazette