Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan tidak berubah tinggi berbanding dolar US minggu hadapan, menurut seorang penganalisis.

Beliau berkat, kenaikan hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi berikutan pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (US FOMC) untuk Disember telah memberi tekanan ke atas ringgit.

“Dengan mesyuarat pertama US FOMC bagi tahun ini dijadualkan pada 25-26 Jan, pelabur akan memerhatikan hasil mesyuarat untuk keputusan kenaikan kadar. Oleh itu, saya mencadangkan jajaran 4.20 hingga 4.22 berbanding dolar US pada minggu hadapan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan lebih rendah kecuali semalam selepas pengukuhan harga minyak mentah telah memacu kekuatan ringgit, Bagaimanapun, ia mengakhiri minggu dagangan pertama 2022 lebih rendah berbanding dolar US pada 4.2070/2080 daripada 4.1650/1680 dalam minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0958/0981 daripada 3.0872/0899 dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.6320/6336 daripada 3.6186/6212 yang dicatatkan pada minggu sebelum ini.

Ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.7602/7640 daripada 4.7194/7228 dan menurun berbanding pound British kepada 5.6999/7037 daripada 5.6277/6318. – MalaysiaGazette