Suami dan ibu mertua ditahan selepas disyaki membunuh anak menantunya yang sarat mengandung kerana bayaran dowri dalam kejadian tragis di Ludhiana, Punjab.Indiatoday.in

PUNJAB – Gara-gara gagal menunaikan tuntutan dowri yang dijanjikan kepada keluarga suaminya, seorang wanita yang sarat mengandung mati  disyaki dibunuh suami dan emak mertuanya sendiri.

Insiden menyayat hati itu berlaku di Ludhiana, Punjab pada Khamis lalu.

Mangsa berusia 24 tahun ditemui mati di Heera Nagar sebelum keluarga mertuanya cuba menutup mulut orang ramai dengan menjadikan kematian mangsa sebagai kes bunuh diri.

Bagaimanapun, ibu kepada mangsa mendakwa anaknya telah didera, dipukul oleh suami dan keluarganya bagi menuntut dowri yang masih belum dilunaskan.

Keluarga mangsa telah membuat laporan polis sebelum pihak berkuasa Moti Nagar mencekup suami mangsa, Gagandeep, ibu mertua serta abang iparnya atas kesalahan membunuh mangsa.

Inspektor Surinder Kumar mengesahkan penahanan tiga suspek itu dan telah membuka siasatan di bawah beberapa seksyen yang diperuntukkan termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan India kerana membunuh.

Mangsa telah mendirikan rumah tangga dengan suspek setahun setengah  lalu sebelum suami dan ibu mertuanya mula mendera dan meminta membawa dowri daripada bapanya.

Ibu mangsa, Rajni Sharma mendakwa pihaknya telah beberapa kali campur tangan dan memberi amaran kepada keluarga birasnya supaya atidak mengulangi perbuatan mendera anaknya.

Namun keluarga Gagandeep terus mengulangi perbuatan itu sehinggalah anaknya meninggal dunia kali ini.

Semasa kejadian, Rajini Sharma mendakwa mereka menerima panggilan telefon dari rumah anak menantunya dan mendakwa anak perempuannya  telah meninggal dunia kerana mengantung diri pada kipas siling.

Bagaimanapun mangsa didapati terbaring di atas katil di bilik tidurnya dan barang peribadinya berselerak di bilik tersebut menandakan dia telah bergelut sebelum meninggal dunia.

Ibu mangsa juga mendakwa pihaknya dapat mengesan kesan serangan fizikal dan cekik pada badan dan leher mangsa dan mendesak siasatan ke atas ketiga-tiga suspek tersebut.- Agensi Indiatoday.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast