Operasi Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang dijalankan JSPT KL sekitar ibu negara bermula Jumaat sehingga awal pagi tadi. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menahan 21 individu dengan 13 daripadanya didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang dijalankan di sekitar ibu negara bermula Jumaat sehingga awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi di sekitar pusat bandar, Jalan Raja Laut, Jalan Pahang dan Lebuhraya Duta – Ulu Kelang itu membabitkan kekuatan seramai lapan pegawai dan 51 anggota.

Menurut beliau, tangkapan terhadap 13 lelaki berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Dalam operasi itu, kita turut menahan lapan lelaki berusia dalam lingkungan 15 hingga 21 tahun kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dengan melakukan aksi zig zag, roket, superman dan bersaing antara satu sama lain.

“Kesemua tangkapan ini kemudiannya di bawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) 1987 APJ kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, secara keseluruhan sebanyak 350 saman telah dikeluarkan sepanjang operasi membabitkan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak sembilan buah motosikal turut disita kerana didapati mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

“Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sarifudin berkata, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette