Datuk Seri Ismail Sabri ketika menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Banjir (BWI) di Bera hari ini

BERA – Kumpulan terakhir penerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) di Bera hari ini menyaksikan seramai 479 ketua isi rumah (KIR) yang terkesan banjir menerima sumbangan disampaikan oleh Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Bera.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumbangan BWI oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri di daerah Bera telah mencapai seratus peratus diagihkan kepada semua mangsa banjir yang terkesan.

“Sumbangan RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM500 dari kerajaan negeri untuk semua mangsa banjir sama ada berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau pun mereka yang tidak berpindah.

“Di Bera, selesai seratus peratus agihan bantuan wang ihsan sama ada yang berpindah atau tidak,’’ katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, sebanyak 94.3 peratus bersamaan 42,901 daripada 45,475 KIR yang berpindah ke PPS di seluruh negara telah menerima wang bantuan tersebut.

“Manakala seramai 8,631 dari 9,203 KIR yang tidak berpindah ke PPS bersamaan 93.8 peratus juga telah menerima BWI.

“Bagi gelombang kedua pula bayaran juga melibatkan 829 keluarga yang berpindah dan 42 lagi tidak berpindah ke PPS,” katanya.

Jelasnya kerajaan juga telah membelanjakan RM1.4 billion bagi kos pengurusan banjir di semua negeri yang terlibat.

Beliau juga mengumumkan empat lagi inisiatif bantuan banjir akan diterima oleh golongan tersebut bermula esok, 10 Januari.

Empat inisatif itu merupakan bayaran tunai RM2,500 barangan keperluan rumah, baucer  RM500 membeli barangan elektrik,  rebat RM1,000 membaiki pulih kenderaan, serta bantuan baik pulih  rumah di bawah RM5,000. – MalaysiaGazette