Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. Foto AFFAN FAUZI, 25 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mendapat sokongan penuh daripada beliau untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Kesihatan (KPK).

Khairy Jamaluddin menyatakan demikian menerusi ciapan pada akaun Twitternya hari ini sebagai respons terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang mempertikaikan kelayakan Noor Hisham dalam menangani wabak Covid-19.

“Tidak dinafikan pendekatan China berkesan namun strategi mereka iaitu containment atau zero Covid-19 bermaksud total lockdown bila ada hanya tiga kes positif. Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk lockdown.

“Strategi kita mitigation bermaksud kita mengurus kes positif dengan berkesan, peningkatan vaksinasi, jaga SOP (prosedur operasi standard), TRIIS (ujian, lapor, mengasingkan, memaklumkan dan mencari) agar kematian menurun, penggunaan ICU (unit rawatan rapi) menurun dan kemasukan hospital menurun.

“Noor Hisham mendapat sokongan penuh daripada saya untuk menjalankan tugas sebagai KPK Malaysia,” katanya.

Terdahulu, menerusi kenyataan pada laman Facebook, King Sing berkata, Noor Hisham adalah seorang pakar bedah dan bukan daripada bidang kepakaran kesihatan awam.

Tiong King Sing

Dalam masa sama, King Sing turut mempersoalkan sama ada Khairy Jamaluddin mempunyai strategi jelas dalam mendepani kemungkinan senario terburuk atau sekadar masih memegang pada pendekatan langkah demi langkah buat masa ini.

“Mereka ini tidak layak tetapi masih enggan mendapatkan nasihat dari China yang berpengalaman dalam memerangi wabak ini.

“Semua orang lihat kadar kematian di China rendah tetapi berapa ramai orang Malaysia telah terkorban akibat penyakit ini? Mengapa Malaysia tidak menggunakan lebih banyak strategi anti wabak dari China dan Noor Hisham pula belum diganti?,” soalnya. – MalaysiaGazette