Pengusaha bas sekolah, Kamarudin Sabudin melakukan kerja-kerja sanitasi bas sekolah sebagai persediaan untuk membawa murid sekolah berikutan pembukaan sesi persekolahan bermula esok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 09 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pengusaha bas sekolah di negara ini semakin tenat apabila kurang daripada 30 peratus sahaja yang akan kembali beroperasi.

Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, pengusaha berkenaan merupakan antara mereka yang sanggup memperjudikan nasib dengan mengeluarkan perbelanjaan yang lebih tinggi bagi menampung kos operasi.

Menurut beliau, antara perbelanjaan yang perlu diambil kira termasuk insurans kenderaan, pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM), membawa kenderaan ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, penyelenggaran serta kos membaiki.

Presiden GPBSM, Mohd Rofik Mohd Yusof. foto FAREEZ FADZIL, 12 FEBRUARI 2019

“Buat masa ini memang mereka sudah buat segala persiapan dengan kos operasi yang sangat tinggi, namun permintaan daripada ibu bapa pula tidak begitu menggalakkan.

“Mungkin ada dalam kalangan ibu bapa yang belum bersedia untuk menghantar anak ke sekolah dengan menggunakan perkhidmatan bas dan memilih untuk hantar sendiri.

“Ditambah pula dengan penularan varian baharu iaitu Omicron, kita pun tidak tahu bagaimana sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula atau sebaliknya kerana mereka (pengusaha) ini sudah mengeluarkan belanja yang banyak,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Rofik berkata, kebanyakan pengusaha bas terdahulu kini sudah beralih arah dan tidak lagi mengusahakan perniagaan yang sama.

Katanya, ada juga dalam kalangan mereka yang sudah bekerja sebagai pemandu lori dan menjadi penghantar makanan.

“Pengusaha yang ada sekarang pun rata-rata mereka gamble sahaja, kalau kali ini tiada sambutan maka industri bas ini akan terus terkubur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Rofik berkata, berdasarkan perjanjian, ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah perlu membayar yuran sehingga tempoh 11 bulan dalam masa setahun.

“Bukan nak kata semua ibu bapa berkira, cuma hanya sebilangan, tapi kalau ikut perjanjian memang kena bayar sekali gus kerana kos operasi yang ditampung oleh pengusaha pun memang tinggi.

“Kerajaan pun kena keluarkan kenyataan kepada ibu bapa yang menggunakan bas sekolah sama ada cuti atau tidak mereka perlu membayar untuk tempoh tersebut kerana kos operasi yang kita nyatakan tadi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast