Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Jawa antara yang dijadikan pusat perpindahan sementara (PPS) hari ini telah beroperasi dan kelihatan tenaga pengajar menyambut pelajar di pintu utama untuk memastikan SOP dipatuhi.

SEGAMAT – Sesi persekolahan penggal ketiga melibatkan penduduk terjejas banjir di sini berjalan lancar biar pun masih ada sekolah yang menjadi Pusat Pemindahan Sementera (PPS).

Tinjauan MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa dekat sini mendapati suasana hari pertama persekolahan yang sebelum ini terpaksa ditangguhkan kerana banjir pada 1 Januari lalu berlangsung dengan lancar. 

Ibu bapa kelihatan mula memenuhi pekarangan luar sekolah sejak pukul 6.30 pagi lagi untuk menghantar anak-anak mereka dan masing-masing kelihatan memakai pelitup muka.

Guru-guru juga dilihat menyambut kedatangan pelajar di pintu utama sambil memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi oleh semua pihak.

Hampir ke semua pelajar yang memulakan sesi persekolahan pagi tadi berpakaian seragam sekolah walaupun ada dalam kalangan mereka terlibat dengan bencana banjir.

Penjaga, Shahruddin Jaafar, 45, yang tinggal di Tasik Kampung Jawa berkata, bencana banjir yang melanda bukanlah sesuatu insiden baharu bagi beliau dan penduduk di kawasan berkenaan. 

Shahruddin Jaafar

Katanya, rata-rata penduduk yang ditempatkan di (PPS) Kampung Jawa hanya dibenarkan pulang dua hari lalu dan membuat persediaan untuk anak-anak kembali ke sekolah secara sederhana.

“Ala kadar sahaja, sekolah walaupun banjir kita tetap menyediakan persediaan anak-anak, dua anak saya bersekolah di Kampung Jawa dalam Tahun Tiga.

“Kami adalah buat persiapan awal jadi bila dapat arahan itu kami sudah asingkan kelengkapan sekolah semua dan bawa ke PPS,” katanya ketika ditemui di Segamat pagi ini.

Sementara itu, Ibrahim Ismail,46 turut berkongsi pengalaman membuat persediaan serba sederhana untuk menghadapi sesi persekolahan baharu.

Ibrahim Ismail

Yang lebih utama, jelasnya, adalah pendidikan untuk anak-anak.

“Banjir seperti ini pernah berlaku di Segamat dan saya sendiri pernah mengalaminya jadi apabila dilanda banjir kali ini kami telah bersedia,” katanya sambil memaklumkan kera-kerja pembersihan di sekolah itu telah siap sejak Jumaat lalu.

Setakat hari ini tujuh buah sekolah iaitu dua sekolah menengah kebangsaan (SMK), tiga sekolah kebangsaan (SK) dan dua sekolah agama masih kekal sebagai PPS.

Antaranya SK Gemerih, SK Tambang, SK Buloh Kasap, SMK Dato Bentara Dalam dan Sekolah Agama Kuala Paya.

Lima buah sekolah yang beroperasi semula adalah SK Kampung Tenang, SK Kampung Jawa, SK Tenang Station, SJKC  Ai Chun dan SJKC Kampung Tengah.

Setakat jam 8 pagi tadi, Segamat masih menjadi daerah paling ramai mangsa banjir iaitu 1,679 mangsa daripada 455 keluarga yang ditempatkan di 26 PPS.

Keseluruhan di Johor masih terdapat empat daerah terjejas iaitu Segamat, Tangkak, Muar dan Batu Pahat dengan angka terkini mangsa banjir 3,714 orang.

Sebanyak 31 sekolah di negeri ini tidak dapat dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga kerana masih terjejas akibat banjir dan dinaiki air bah.

Daripada jumlah itu, 23 sekolah dijadikan PPS sementara lapan sekolah lagi masih dinaiki air bah.

Sekolah yang dijadikan PPS adalah masing-masing lapan di Segamat dan Tangkak, lima di Muar dan dua di Batu Pahat.

Sebelum ini, sebanyak 46 sekolah di Johor dijadikan PPS bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir.

Sebanyak 1,184 sekolah di negeri ini dijadualkan dibuka bagi sesi persekolahan penggal 3, 2021/2022, mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan (KPM). – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast