Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan

KUALA LUMPUR – Pemilik kediaman dan komersial yang menyewakan premis mereka kini mempunyai pilihan untuk membuat pertukaran nama akaun (COT) ke atas nama penyewa.

Ketua Pegawai Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, pilihan COT dalam tempoh penyewaan adalah bagi memastikan pengurusan akaun yang lebih teratur selain menjaga kepentingan pemilik premis.

Menurut beliau, dengan penukaran nama pemilik akaun kepada penyewa, semua tanggungjawab penggunaan dan pembayaran bil elektrik adalah di bawah tanggungjawab penyewa.

“TNB memberi kemudahan untuk membuat COT melalui portal myTNB di www.mytnb.com.my atau dengan mengunjungi Kedai Tenaga yang berdekatan. Maklumat dan dokumen sokongan yang diperlukan bagi pertukaran nama juga boleh diperoleh di portal myTNB.

“Manakala pemilik premis masih boleh memantau penggunaan dan pembayaran bulanan penyewa dari semasa ke semasa melalui portal dan aplikasi myTNB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, langkah tersebut boleh mengurangkan risiko pemilik premis terpaksa menanggung hutang bil elektrik penyewa.

“Ia berkenaan aduan pemilik premis selaku pengguna berdaftar yang dibebani bil elektrik berikutan penemuan kesan-kesan pengusikan meter atau pepasangan TNB oleh penyewa pengusaha Bitcoin,” katanya.

Ujarnya lagi, TNB sentiasa membuka ruang kepada pengguna untuk berjumpa bagi mendapatkan penerangan dan perbincangan lanjut selain menggalakkan mereka untuk menghubungi TNB CareLine di talian 1 300 88 5454 bagi sebarang pertanyaan atau menempah janji temu untuk ke Kedai Tenaga di https://www.mytnb.com.my/tnbtemujanji. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast