Ashwad Abd Rahim menyerahkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

MELAKA – Prihatin terhadap keperluan lebih 200 mangsa banjir mendorong seorang sukarelawan menganjurkan Misi Bantuan Kecemasan Banjir dalam usaha meringankan beban pasca banjir dihadapi.

Sukarelawan yang juga usahawan pusat mencuci kenderaan, Ashwad Abd Rahim, 30, berkata, beliau terpanggil untuk menjadi penyelaras program berkenaan bersama beberapa agensi sukarelawan lain selepas tersentuh melihat kepayahan dihadapi mangsa banjir di Melaka.

Menurutnya, sejak banjir besar melanda Melaka 18 Disember lalu, kawasan rumahnya di Taman Merdeka Jaya turut dinaiki air mendorong beliau menggunakan kemampuan yang ada untuk membantu.

“Sebab itu hari ini saya menganjurkan misi ini dengan bantuan beberapa agensi sukarelawan lain untuk menyantuni penduduk bukan sahaja dari segi keperluan barangan, bahkan menawarkan rawatan kesihatan dengan bantuan doktor dan jururawat sukarelawan.

“Sebagai sebuah Keluarga Malaysia, inilah masanya kita bersatu padu mengenepikan fahaman politik, agama dan bangsa untuk saling membantu yang bukan sahaja terletak di bahu kerajaan semata-mata,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Antara agensi sukarelawan terlibat adalah Malaysian Relief Agency (MRA) dan Global Peace Mission Malaysia (GPM).

Ashwad Abd Rahim

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Datuk Thamby Chik Karim, Zulkiffli Salim, 43, berkata, program pasca banjir terbabit amat dialu-alukan khususnya dalam usaha mencegah penyakit bawaan air selepas banjir.

“Selain bantuan berbentuk barangan, pembukaan klinik bergerak juga sangat membantu bagi mengelak risiko penyakit berjangkit selepas banjir seperti kencing tikus, cirit-birit, Hepatitis A, taun, demam kepialu, keracunan makanan dan demam denggi.

“Sebenarnya, inilah yang lebih ditakuti mangsa banjir berbanding bantuan makanan yang sudah banyak diperolehi hasil bantuan kerajaan, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette