Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan PDRM di Pusat Latihan Unit Tindak Khas Batalion 4, Pasukan Gerakan Am(PGA), Semenyih, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 JANUARI 2022

KAJANG- Kerajaan telah meluluskan sebanyak 21 projek naik taraf dan pembangunan fizikal baharu bagi agensi keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)  melibatkan peruntukan berjumlah RM558.7 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada keseluruhan 21 projek berkenaan, sebanyak 10 projek pembangunan daripadanya diluluskan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sangat memerlukan penambahbaikan segera.

“Manakala 11 lagi projek bagi agensi-agensi keselamatan lain iaitu Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“KDN komited untuk memastikan segala infrastruktur dan keperluan agensi keselamatan dipenuhi bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam kekal terjamin di samping mereka dapat menangkis segala ancaman dunia moden mendatang dengan tangkas dan efisien,” katanya dalam sidang media di Batelion 5, Pasukan Gerakan Am Semenyih di sini.

Beliau bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hadir merasmikan Pecah Tanah pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan Para Operatif Unit Tindakhas (UTK) PDRM di Semenyih.

Tambah beliau 10 projek yang diluuskan kerajaan untuk PDRM bagi pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 adalah pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga, Sarawak; pembinaan 18 Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di Selangor; membina semula Jeti Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Muar, Johor dan pembinaan Balai Polis Kuala Penyu Beaufort, Sabah.

Turut terlibat pembinaan 10 Unit Kuarters Balai Polis Pulau Redang, Terengganu; pembinaan Pondok Polis Kampung Pimping, Membakut, Sabah; perolehan tanah bagi pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan IPK Perak serta menaiktaraf fasiliti PDRM.

Kerajaan turut meluluskan empat projek bagi Jabatan Penjara membabitkan pembinaan Kompleks Latihan Tenun Pahang Diraja, Pahang; tangki air di Penjara Kajang; menaik taraf Pusat Asingan dan Penempatan Banduan, Blok Peralihan serta Blok Penempatan Penjara Simpang Renggam, Johor, juga menaik taraf sistem kumbahan di penjara itu.

“Jabatan Imigresen diluluskan tiga projek yang kesemuanya akan dilaksanakan di negeri Sarawak iaitu projek menaiktaraf Kompleks ICQS Tebedu, Serian; pembinaan pos dan kuarters Telok Melano di Sematan serta Serikin di Bau.

“Kita juga meluluskan tiga projek ESSCOM di Sabah iaitu pembinaan Pos Manalunan, Kinabatangan; Pos Simanggaris, Kalabakan dan membina semula Pos Kuala Meruap, Lahad Datu manakala satu projek di bawah APMM membabitkan kerja-kerja menaik taraf  Lapang Sasar Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Pahang.

“Saya berharap kesemua projek berkenaan dapat berjalan sebaik mungkin dan berjaya diselesaikan dalam waktu ditetapkan untuk memperkasa agensi keselamatan di bawah KDN supaya sentiasa bertugas dengan mantap dan berkesan menghadapi ancaman keselamatan serantau,” tambahnya. -MalaysiaGazette