Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin.

MELAKA – Seramai 71 murid dan pelajar sekolah di negeri ini masih terkandas di tiga pusat penempatan sementara (PPS) akibat banjir sekaligus tidak dapat memulakan sesi persekolahan hari ini.

Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, semua mereka membabitkan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu, SK Seri Mendapat dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai.

“Hari ini seramai 85,136 murid dan 65,219 pelajar telah memulakan sesi persekolahan, namun seramai 71 lagi masih berada di tiga buah PPS semuanya di daerah Jasin kerana masih terjejas dengan banjir.

“Kita memahami kekangan yang dihadapi dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri akan sentiasa membantu mereka termasuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

“Jika ada buku teks yang rosak akibat banjir, kita juga sedang berurusan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memastikan mereka segera mendapat buku teks baharu termasuk kelengkapan alat tulis lain jika rosak,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan pertama sesi persekolahan 2021 di SK Tanjung Minyak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, setakat ini, hanya tiga daripada 16 sekolah masih digunakan sebagai PPS semuanya di Jasin.

“Sebelum ini kita mengaktifkan 19 buah sekolah seluruh Melaka sebagai PPS, namun 16 sudah ditutup dan cuma tinggal tiga buah sekolah digunakan sebagai PPS,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah guru yang masih belum menerima vaksin, beliau berkata ia hanya membabitkan 36 daripada lebih 13,000 guru di seluruh negeri.

“Bagaimanapun ibu bapa tidak perlu bimbang kerana semua guru berkenaan tidak terlibat dalam sesi pembelajaran secara bersemuka dan pihak JPN dalam usaha memujuk mereka untuk mengambil vaksin.

“Tapi sebenarnya, daripada 36 itu ada juga guru yang tak ambil vaksin sebab ada masalah kesihatan dan mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di sekolah,” katanya.- MalaysiaGazette