Zawawi Yaakub.

MELAKA – Mahu berjimat dan bimbang sesi persekolahan ditutup semula menjadi alasan ibu bapa memilih untuk mengekalkan baju sekolah lama kepada anak-anak mereka yang memulakan sesi persekolahan hari ini.

Pekerja kilang, Zawawi Yaakub, 46, berkata, kewujudan varian baharu, Omicron menyebabkannya serik untuk berbelanja hampir RM1,000 untuk keperluan persekolahan lima anaknya seperti tahun lalu.

“Tahun lepas, saya berhabis hampir RM1,000 membeli pakaian baharu kepada lima anak namun hanya dapat pakai sekejap sahaja susulan sekolah terpaksa ditutup.

“Jadi, tahun ini saya memilih untuk berjimat dan hanya guna baju lama sekolah sebab takut jika berlaku lagi penutupan sekolah akibat kes Covid-19 yang membimbangkan,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak di sini hari ini.

Turut berkongsi pandangan sama, Nurlita Idris, 38, yang hanya membuat persiapan ala kadar untuk dua anaknya yang bersekolah di Tahun 1 dan 3.

Nurlita Idris.

“Lagi pun baju sekolah anak masih elok jadi rasanya tak perlulah membazir beli pakaian baharu sebab kita pun tak tahu sampai bila sesi pembelajaran dalam kelas ini akan diadakan.

“Takut nanti, lepas sebulan dua, kena ikuti semula sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian semula jadi pakailah baju sekolah mana yang ada dahulu,” katanya.- MalaysiaGazette