Pegawai perubatan kesihatan memberi rawatan kecemasan terhadap seorang mangsa banjir yang telah dikesan positif COVID-19 selepas mengalami sesak nafas di Pos Kawalan Banjir Taman Sri Muda Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 25 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kes positif Covid-19 menurun 5.3 peratus bagi Minggu Epidemiologi 1/2022 (ME1) yang bermula 2 Januari hingga 8 Januari 2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu purata kes aktif turut mencatatkan penurunan sebanyak enam peratus untuk tempoh yang sama.

“Kes kematian konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 28.3 peratus dengan 142 kematian berbanding 198 kematian pada ME 52/2021,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, tren penggunaan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan juga menurun dibantu oleh kadar vaksinasi seluruh negara.

“Penurunan kedua-dua indikator ini selari dengan peningkatan liputan vaksinasi seluruh negara yang kini telah mencatat 78.5 peratus populasi keseluruhan lengkap divaksinasi (sehingga 9 Januari 2022, 11.59 malam)” katanya.

Sementara itu Noor Hisham menambah, jumlah kluster yang telah tamat juga telah meningkat sebanyak 60 peratus.

“Dari kumulatif 6,158 kluster yang dilaporkan setakat 8 Januari 2022, terdapat 176 kluster masih aktif [penurunan sebanyak
18.1 peratus (39 kluster) berbanding minggu lalu]. Selain itu, sebanyak 64 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME 1/2022,” beliau berkata.

Walaubagaimanapun ujar beliau, purata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) dilihat meningkat sebanyak 3.16 peratus.-MalaysiaGazette