GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang memutuskan tiada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri pada tahun ini ekoran pandemik Covid-19 ketika ini.

Bahagian Penerangan Kerajaan Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira aspek keselamatan semua pihak terutama rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh.

“Selain itu, terdapat keperluan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, tambahan pula dengan pengesanan beberapa kes varian Omicron di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri Pulau Pinang memutuskan bahawa Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri pada tahun ini tidak dapat diadakan,” katanya hari ini.

Bahagian Penerangan Kerajaan Pulau Pinang turut meminta rakyat negeri ini meneruskan kawalan kendiri dan berdisiplin dalam mematuhi SOP ditetapkan demi keselamatan diri sendiri, keluarga dan komuniti sekeliling.

Untuk rekod, sehingga kini Pulau Pinang mempunyai dua kes jangkitan membabitkan varian Omicron.

Ia adalah kes import yang dikesan melalui dua individu yang pulang dari Arab Saudi selepas menunaikan umrah. – MalaysiaGazette