Gambar fail

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,175 kes baharu positif Covid-19 dengan jumlah kumulatif sebanyak 2,792,035 kes dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini.

Daripada jumlah itu, 272 adalah kes import melibatkan 224 warganegara dan 48 bukan warganegara, manakala 2,977 adalah kes sembuh dengan kumulatif 2,720,399 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes tempatan yang direkodkan daripada jumlah kes baharu itu ialah sebanyak 2,903 kes iaitu 2,745 warganegara dan 158 lagi bukan warganegara.

Menurut beliau, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 229 kes iaitu 200 kes disahkan Covid-19, manakala 29 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Dr Noor Hisham Abdullah

Katanya, kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 99 kes iaitu 68 kes disahkan Covid-19, manakala 31 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Jumlah kluster ialah 6,176 kluster dengan sembilan jumlah kluster baharu, 5,998 kluster yang telah tamat dan 178 kluster aktif,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, daripada 3,175 kes harian yang dilaporkan hari ini, 60 kes atau 1.9 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5 dan 3,115 kes atau 98.1 peratus lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, beliau menjelaskan, sehingga jam 3 petang ini jumlah PPS yang masih beroperasi ialah sebanyak 38 PPS iaitu di Johor (34), Pahang (satu) dan Melaka (tiga).

Katanya, jumlah negeri dilanda banjir ketika ini ialah tiga melibatkan Pahang, Melaka dan Johor dengan jumlah mangsa terjejas seramai 2,287 orang.

“KKM tidak merekodkan kes baharu di PPS dengan kekal sebanyak 15 kes. begitu juga tiada kes baharu positif di kalangan mangsa banjir dengan jumlah kekal kepada 470 kes,” katanya. – MalaysiaGazette