Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad (kiri) beramah mesra dengan sebahagian penerima bantuan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah kepada warga agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang terkesan banjir di Kompleks Islam Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menyelar jika benar tindakan seorang pendakwah bebas yang mendakwa membawa jemaah tidak divaksin menunaikan umrah.

Kesal dengan tindakan pendakwah berkenaan, beliau menegaskan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.

Dalam masa yang sama, beliau berharap pihak bertanggungjawab menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan.

“Saya amat kesal kerana berlaku perkara begitu sedangkan syarat sudah ditetapkan mesti lengkap divaksin baru boleh tunai umrah. Macam mana boleh terlepas ke sana?

“Saya harap pihak bertanggungjawab boleh siasat bagaimana umrah yang tidak divaksin boleh lolos ke Arab Saudi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah Kepada Agensi Di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  yang terkesan bencana banjir hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, meskipun pihaknya boleh memanggil pendakwah bebas berkenaan untuk penjelasan dan memberikan nasihat  namun pada bidang kuasa untuk mengenakan tindakan undang-undang, ia  bukan di bawah kementeriannya.

“Kita mungkin boleh panggil dia, tanya kenapa dia buat begitu. Dari segi undang-undang kita harap pihak lain yang bertanggungjawab.

“Sebab itu perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku terutama ke tempat suci. Saya yakin orang yang pergi umrah walaupun ada sumber pendapatan tidak betul kena pastikan halal 100 peratus bila buat begini tidak patutlah,” katanya lagi.

Bagaimanapun dalam satu laporan media, pendakwah berkenaan mengatakan vaksin yang  tidak diambil bersama jemaah umrah yang dibawa ialah vaksin Meningococcal Meningitis.

Sebagai rekod, Kementerian Kesihatan mendedahkan sebanyak 14 peratus daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah umrah baru-baru ini dalam kalangan yang  tidak menerima suntikan vaksin.- MalaysiaGazette