Logo PUNB

KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperkenalkan sistem e-mohon bagi membolehkan usahawan memohon pembiayaan perniagaan secara dalam talian.

Dengan sistem ini, penghantaran permohonan secara bersemuka di Ibu Pejabat dan Pejabat Wilayah PUNB di seluruh negara akan ditamatkan pada 31 Januari 2022 kerana PUNB akan beralih kepada permohonan secara dalam talian sepenuhnya bermula 1 Februari 2022

Sistem ini membolehkan pemohon memantau proses permohonan pembiayaan daripada penerimaan permohonan lengkap sehingga status akhir permohonan.

Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, sistem tersebut dapat memudahkan pemohon, selain mempercepat dan meningkatkan kecekapan proses permohonan.

”Peralihan kepada pendigitalan operasi adalah satu keperluan, selain menjadi antara kaedah progresif yang boleh digunakan dalam persekitaran hari ini. PUNB sentiasa berusaha bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik dan memudahkan usahawan,” katanya.

Bagaimanapun, usahawan yang mempunyai pertanyaan atau ingin mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pembiayaan perniagaan, masih boleh berkunjung ke Ibu Pejabat dan Pejabat PUNB di seluruh negara mengikut waktu operasi yang ditetapkan.

Kemudahan e-mohon sudah boleh diakses bermula 11 Januari di https://e-mohon.punb.com.my/login dan klik untuk pendaftaran serta proses permohonan. – MalaysiaGazette