Honda Civic generasi ke-11

KUALA LUMPUR – Honda Malaysia Sdn Bhd menyasar menjual 900 unit sebulan model Honda Civic serba baharu generasi ke-11.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Madoka Chujo berkata, model yang begitu dinanti-nantikan itu dijangka mendapat sambutan hangat dalam pasaran dan dapat mengekalkan kedudukan nombor satunya dalam segmen C dengan reka bentuk luaran bergaya, tawaran dalaman premium dan prestasi terbaik dalam kelasnya.

“Setakat ini kami telah menerima 1,200 tempahan bagi Civic generasi ke-11 sejak tempahan dibuka pada awal bulan lepas.

“Serahan akan bermula minggu depan dengan masa menunggu dijangka antara satu dan dua bulan bergantung kepada varian,” katanya selepas pelancaran model baharu tersebut yang diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, hari ini.

Civic baharu generasi ke-11 itu ditawarkan dalam tiga varian – varian E, V dan sporty RS – yang dikuasakan oleh enjin VTEC Turbocharged 1.5-liter yang dipertingkat.

“Kami memperkenalkan enjin VTEC Turbocharged dalam Civic generasi ke-10. Penerimaan enjin itu dalam pasaran amat memberangsangkan dan sejak itu, 60 peratus daripada jualan Civic disumbang oleh varian Turbocharged,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Jualan dan Selepas Jualan Kumpulan, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, syarikat tersebut menjangka 50 peratus jualan Honda Civic baharu itu disumbang oleh varian V dan 30 peratus daripada varian sporty RS manakala 20 peratus jualan daripada varian E.

Honda Civic baharu itu tampil dengan lima warna, termasuk warna baharu Meteoroid Grey Metallic (kelabu) dan Ignite Red Metallic (merah)  serta Lunar Silver Metallic (perak), Crystal Black Pearl (hitam) dan  Platinum White Pearl (putih).

Varian E Civic berharga RM125,634.64, varian V berharga RM138,043.36 manakala pelanggan boleh memiliki varian RS pada harga RM144,350.09. – MalaysiaGazette