ABUJA – Kerajaan Nigeria telah menamatkan sekatan Twitter, tujuh bulan selepas ia menghentikan operasi platform microblogging yang berpangkalan di California.

Penarikan sekatan di Nigeria berkuatkuasa mulai 12 tengah malam waktu tempatan pada Khamis.

Ini berikutan syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu bersetuju untuk memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Nigeria, kata Kashifu Abdullahi, Ketua Pengarah Teknologi Maklumat Kebangsaan Agensi Pembangunan dalam satu kenyataan.

“Kerajaan Persekutuan Nigeria mengarahkan saya untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa Presiden Muhammadu Buhari telah meluluskan penarikan balik sekatan operasi Twitter di Nigeria,” kata Abdullahi, yang turut mengambil bahagian dalam rundingan kerajaan dengan Twitter.

Menurut laporan Xinhua, pegawai itu menyatakan bahawa Twitter ialah platform pilihan bagi ramai warga Nigeria untuk berkomunikasi, oleh itu, penglibatan pihaknya akan membantu Twitter menambah baik dan membangunkan lebih banyak model perniagaan untuk meliputi kawasan yang lebih luas di Nigeria.

Kerajaan Nigeria menggantung operasi Twitter pada 5 Jun 2021, dua hari selepas ia menuduh syarikat rangkaian sosial itu menyokong kumpulan pemisah di negara Afrika barat itu.

Pada 1 Oktober lalu, Buhari berkata, beliau telah mengarahkan larangan operasi Twitter di negara itu ditarik balik, tetapi hanya jika syarat tertentu yang digariskan oleh kerajaan dipenuhi.

Presiden itu berkata, pentadbirannya membuat keputusan itu selepas Twitter menghubungi kerajaan untuk menyelesaikan kebuntuan itu. – Xinhua