Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Lelaki warga Nepal ditemui mati tergantung di sebuah gereja terkemuka di Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Tukang masak berusia 26 tahun itu ditemui orang awam sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa kira-kira jam 1.40 petang tadi.

MalaysiaGazette difahamkan mangsa bertindak menggantungkan dirinya menggunakan tali di kipas dinding dalam tandas di gereja tersebut.

Identiti mangsa turut ditemui dalam milikannya sebelum pihak berkuasa memaklumkan kejadian kepada majikan serta adiknya yang kini berada di Johor.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” kata beliau.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam dan bedah siasat akan dilakukan sebaik menerima keputusan ujian calitan Covid-19. – MalaysiaGazette