murder case debt loan Bidor oil palm estate Perak Police Chief, Datuk Mior Faridalathrash Wahid students die of Covid-19 vaccine SMK Tasek Damai
Mior Faridalathrash Wahid.

IPOH – Kehilangan seorang lelaki hampir empat bulan selepas dilarikan dua lelaki terjawab selepas mayatnya ditemui dalam kebun sawit di Bidor pada Selasa lalu.

Mangsa bunuh itu ditemui polis selepas menahan seorang suspek berusia 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Selangor pada hari yang sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung mangsa berusia 29 tahun itu dilarikan dua suspek pada 3 Oktober tahun lalu.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai pemotong buah sawit itu dilarikan pada 13 September 2021 ketika dia berada bersama pengadu di kolam ikan Kampung Poh, Bidor.

“Berdasarkan laporan pengadu, mangsa diserang dua suspek yang bersenjatakan kayu sebelum dilarikan dengan sebuah kenderaan.

“Pengadu juga diugut untuk tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa sebelum ditinggalkan di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, hasil siasatan polis mendapati punca mangsa diperlakukan sedemikian disebabkan masalah hutang antaranya dengan suspek.

Jelas beliau, bertindak atas risikan dan maklumat pihak polis berjaya mengesan salah seorang suspek yang terlibat sebelum membawa kepada pendedahan mangsa telah dibunuh.

“Mangsa ditanam di sebuah kebun sawit dalam kawasan Bidor dan berpandu pada maklumat suspek, pihak polis menemui mayat lelaki itu dalam keadaan dibungkus menggunakan kanvas.

“Suspek direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes culik mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan reman akan disambung mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Bedah siasat terhadap mangsa akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. – MalaysiaGazette