KUALA LUMPUR – Shoraka Digital Ventures (SDV) melalui salah satu syarikat permulaan penyelesaian fintech mereka, Shoraka Global Resources Sdn Bhd (SGR), telah
menandatangani kerjasama strategik bersama Yayasan Hijrah Selangor untuk memudahkan penghijrahan tawaran kewangan konvensional kepada yang patuh Syariah.
Kerjasama strategik itu akan membolehkan penerima kredit mikro yang kebanyakannya daripada golongan B40 (kurang berkemampuan), yang tidak mudah mendapat akses
kepada perkhidmatan kewangan Islam, mengakses pembiayaan secara patuh Syariah.
Pengarah Urusan SDV Johar Amat berkata, kerjasama ini merupakan satu kejayaan
penting bagi pihak Shoraka kerana ia selaras dengan aspirasi kumpulan untuk memudahkan pengembangan penawaran kewangan Islam kepada semua segmen
masyarakat, termasuk yang kurang berkemampuan.
Johar berkata, dengan kerjasama ini, SDV menjadi fasilitator kepada Yayasan Hijrah Selangor untuk menyediakan produk dan penyelesaian patuh Syariah
kepada penerima mereka
”Saya meramalkan perkongsian yang berjaya antara kedua-dua pihak kami yang akan mempercepat digitalisasi penyelesaian teknologi kewangan Islam
untuk rakyat Selangor dan berharap dapat bekerjasama lebih jauh dengan Hijrah Selangor dalam bidang teknologi digital,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis menandatangani perjanjian oleh kedua-dua pihak di Kuala Lumpur, disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail,
Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor berkata, kerjasama antara Hijrah Selangor dan Shoraka akan menumpukan perhatian pada bidang-bidang yang membantu kedua-dua pihak memanfaatkan kekuatan masing-masing.
Yayasan Hijrah Selangor merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk melebarkan golongan kelas menengah di negeri Selangor melalui pendekatan pelaksanaan sistem penyaluran modal tambahan yang efisien kepada peniaga-peniaga kecil.
Salah satu objektifnya ialah untuk memberikan pinjaman mikro kredit kepada usahawan kecil negeri Selangor bagi perlaksanaan program membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka serta menambah modal.
Shoraka Group, syarikat induk SDV, ditubuhkan pada 2006 diperbadankan di Dubai dan kemudiannya diperbadankan di Malaysia pada 2007 untuk beroperasi secara eksklusif di Asia Tenggara sebagai syarikat penasihat kewangan sebelum berkembang ke sektor Teknologi Digital.
SDV menyediakan penyelesaian digital, perkhidmatan teknologi, ekuiti persendirian serta nasihat perniagaan dan Syariah.
Salah satu penyelesaian digitalnya adalah platform yang dikendalikan oleh Shoraka Global Resources Sdn Bhd, yang dikenali sebagai Shoraka Al-Amin.
Ia adalah platform perdagangan komoditi untuk memudahkan transaksi Tawaruq dengan tujuan menawarkan produk pembiayaan Islam. – MalaysiaGazette