Antara wakil yang hadir pada Majlis Palm Oil Economic Review Outlook Seminar 2022 di Mariott Hotel, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 13 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Industri minyak sawit negara perlu menggunakan strategi menyerang kempen anti minyak kelapa sawit dengan cara yang profesional.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, strategi serangan yang dimaksudkannya adalah menjadikan kelebihan minyak sawit negara sebagai kekuatan untuk dipromosikan kepada pasaran baharu.

Tambah beliau, pasaran baharu juga perlu didedahkan dengan polisi kementerian khususnya berkenaan penanaman pokok kelapa sawit yang bercanggah daripada dakwaan Kesatuan Eropah (EU).

“Kita dapati kita tidak buat sebaiknya untuk serang balik kempen ini. Kita tidak gunakan kebaikan minyak sawit kita untuk beri kesedaran. Kita tidak kongsi polisi negara kita dalam penanaman sawit yang melibatkan polisi berkaitan tenaga kerja, polisi melibatkan persekitaran tetapi tidak diberi tekanan.

“Strategi menyerang ini bermaksud perkukuhkan kekuatan, tekankan tentang kebaikan minyak sawit, polisi kita dalam penanaman sawit. Itu strategi menyerang.

“Kuatkan pemasaran kita di pasaran baharu dan progresif, gunakan point yang positif. Bila kita guna strategi ini kita tidak perlu berusaha untuk mempertahankan diri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Tinjauan dan Semakan (R&O) Ekonomi Minyak Sawit 2022, di sini, hari ini.

Ujar beliau, pendekatan ini boleh dilaksanakan dengan memperkukuhkan strategi komunikasi, pemasaran dan perancangan teliti pihak industri.

“Kita perlu agresifkan strategi pemasaran, komunikasi pemain industri dan kementerian perlu berbincang untuk perincikan perkara ini,” ujarnya.

Zuraida dalam masa yang sama menyifatkan EU bertindak tidak adil apabila melaksanakan kempen anti minyak sawit Malaysia, tanpa menjalankan proses varifikasi.

“Tuduhan yang dibuat oleh EU, berdasarkan satu aduan tapi tidak ada proses mendapatkan kesahihan. Mereka perlu tanya kita semak apakah yang berlaku seperti tuduhan itu betul atau tidak.

“Kita bersedia bekerjasama. Tapi proses itu tidak ada, seperti hanya berpihak kepada sebelah pihak sahaja,” tambahnya.

Justeru beliau berharap agar Seminar R&O Ekonomi Minyak Sawit 2022 yang berlangsung hari ini akan dapat membuahkan idea-idea yang bernas dan akhirnya dilaksanakan secara progresif untuk meningkatkan daya saing minyak sawit negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast