Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN – Demi menyelamatkan anak lelaki daripada ditahan pihak berkuasa kerana terlibat dadah, seorang warga emas kerugian RM20,000 selepas diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 74 tahun menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali semalam yang memaklumkan anaknya telah ditahan di sekatan jalan raya di Kuala Lumpur kerana terlibat dengan dadah.

“Pengadu kemudian diberitahu bahawa anak pengadu ditahan kerana terdapat serbuk dadah telah disorokkan di bahagian kaki seluarnya.

“Mangsa diminta untuk membayar sebanyak RM50,000 bagi menyelesaikan perkara tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, tambah beliau, mangsa memberitahu suspek bahawa beliau hanya mempunyai RM20,000 dan transaksi dilakukan ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.

Menurut Mohd Wazir, mangsa telah meminta untuk bercakap dengan anaknya, namun beliau tidak dapat memastikan siapa yang bercakap dengannya kerana individu itu sedang menangis.

Katanya, mangsa menyedari telah ditipu apabila panggilannya disekat selepas melakukan transaksi yang menyebabkan beliau membuat laporan di balai polis Bentong.

Kata Wazir, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette