Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data yang dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman sesawang COVIDNOW, jumlah kumulatif angka korban akibat wabak tersebut kini berjumlah 31,750 kes.

Bagaimanapun tiada kematian di luar hospital (BID) direkodkan.

Sabah mencatatkan kematian baharu sebanyak tiga kes diikuti Johor dan Pahang iaitu dua kes.

Manakala Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu dan Kuala Lumpur hanya merekodkan satu kes kematian.

Tiada kes kematian baharu dilaporkan Perlis, Melaka, Kedah, Perlis, Sarawak, Selangor, Labuan dan Putrajaya.

Dalam perkembangan lain, laman sesawang itu turut melaporkan jumlah kes aktif berjumlah 40,276 iaitu dengan pertambahan 380 kes manakala 3,342 pesakit Covid-19 masih ditempatkan di hospital.

COVIDNOW turut berkongsi angka individu yang menjalani kuarantin di rumah iaitu seramai 33,075 orang atau bersamaan dengan 82.1 peratus manakala seramai 3,660 orang (9.1 peratus) berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC). – MalaysiaGazette