Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Selepas mendakwa Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menerima vaskin ketika mengejakan Umrah, Ustaz Abu Syafiq dilaporkan turut mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin melakukan perkara sama.

Dalam satu kenyataan, Pegawai Khas Muhyiddin, Mohd Naaim Mahmod berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Katanya, Muhyiddin dan semua delegasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin untuk Covid-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi dan menerima suntikan kedua vaksin sekembali ke tanah air, manakala vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan.

“Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi,” jelas Mohd Naaim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lawatan kerja rasmi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 ke Arab Saudi yang diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Ia termasuklah melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan.

Hasil ujian PCR mendapati semua delegasi adalah negatif Covid-19, katanya.

“Pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi di dalam suatu gelembung perjalanan (travel bubble) yang telah ditetapkan,” jelas Mohd Naaim lagi.

Dalam satu video berdurasi 59 saat, Ustaz Abu Syafiq mendakwa Muhyiddin serta beberapa ahli kerajaan yang lain tidak mengambil vaksin ketika menunaikan umrah baru-baru ini.

Ustaz Abu Syafiq sebelum ini membuat pendedahan beliau telah pergi menunaikan umrah tanpa mengambil vaksin.

Dia kemudian tampil menjelaskan bahawa vaksin yang dimaksudkannya adalah vaksin Meningococcal Meningitis atau MM dan bukannya vaksin Covid-19. – MalaysiaGazette