https://twitter.com/i/status/1482276048209338375

WELLINGTON –  Letusan gunung berapi di bawah air telah mencetuskan ombak besar di pantai Tonga.

Kerajaan Australia sedang berusaha untuk menentukan kerosakan dan bantuan yang mungkin diperlukan daripada Canberra.

Perkhidmatan Meteorologi Tonga mengeluarkan amaran pada petang Sabtu, selepas aktiviti gunung berapi bawah air berterusan sejak Jumaat.

Letusan ganas di pulau gunung berapi Hunga-Tonga-Hunga-Ha’apai kira-kira 3.10 petang AEDT diikuti dengan tsunami setinggi 1.2 meter yang diperhatikan di ibu negara Nuku’alofa kira-kira 20 minit kemudian.

Penduduk tempatan berebut-rebut untuk berada di tempat yang lebih tinggi di tengah-tengah hujan abu dan batu kerikil yang menyebabkan petang Sabtu menjadi gelap.

Di media sosial, ada netizen mendakwa mereka dapat mendengar letusan itu sebelum ombak mula bergelora dan merempuh pagar dan menenggelamkan rumah pantai.

Pengguna media sosial lain menyiarkan rakaman yang menunjukkan Istana Diraja, di utara ibu negara, dinaiki air.

Wartawan tempatan memberitahu 1News New Zealand bahawa negara itu mengalami “waktu yang sangat menakutkan” berikutan beberapa siri “letupan besar” di pulau gunung berapi itu sejauh 65 kilometer.

Pakar tsunami, Andrew Gissing berkata, aktiviti gunung berapi baru-baru ini telah mengakibatkan amaran tsunami marin dikeluarkan pada hari Jumaat dan letusan pada hari Sabtu “nampak lebih besar”.

”Daerah pusat perniagaan, tempat orang ramai telah nampaknya telah dilanda tsunami. Terdapat hotel, banyak kedai berdekatan dan kedai makan betul-betul di tepi air. Perkara utama ialah gunung berapi itu aktif, dan mungkin akan berlaku lagi letusan,” katanya.

“Banyak lagi akan datang, akan ada siasatan mengenai letusan gunung berapi ini. Satu tumpuan akan diberikan kepada kawasan tanah runtuh di bawah laut yang menyebabkan tsunami kerana itulah yang akan menjadi punca gelombang alam ini.”

MetService, pihak berkuasa cuaca kebangsaan New Zealand berkata, stesen cuacanya di seluruh negara telah mengesan “lonjakan tekanan daripada letusan terbaharu”.

Penduduk Fiji juga melaporkan dapat mendengar dan merasai letusan itu kerana negara itu mengeluarkan amaran kepada mereka yang berada di kawasan rendah supaya menjauhi air dan menjauhi pantai.

Amerika Syarikat juga mengeluarkan amaran tsunami kepada Samoa Amerika. (https://www.smh.com.au/world/oceania/footage-shows-waves-crashing-into-homes-as-tsunami-warning-sounds-in-tonga-20220115-p59ohh.html)