MELAKA – Seorang penuntut lelaki sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan dua wanita antara 10 individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi di dua pusat hiburan, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, penuntut berusia 19 tahun dan dua wanita berumur 40-an itu ditahan dalam serbuan kedua kira-kira jam 2 pagi.

“Dalam dua serbuan berasingan di dua pusat hiburan sekitar Melaka Raya itu, polis memeriksa 72 pengunjung membabitkan 49 lelaki dan 23 perempuan berumur antara 19 dan 50 tahun.

“Hasil ujian saringan air kencing, dua wanita berusia 40-an dan lapan lelaki termasuk seorang pelajar lelaki berumur 19 tahun sebuah IPTA positif dadah.

“Turut positif adalah seorang lelaki berusia 22 tahun selain memiliki sebiji pil dipercayai Erimin 5,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tambahnya, JSJN Melaka akan terus membuat operasi di pusat-pusat hiburan dari semasa ke semasa bagi membendung penyalahgunaan dadah di premis berkenaan. – MalaysiaGazette