Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan menolak sebarang usaha untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat.

Presidennya, Datuk Dominic Lau berkata kerajaan negeri itu digesa lebih fokus kepada bencana banjir yang masih berlaku di Johor dan membantu mangsa-mangsa banjir di negeri berkenaan.

“Gerakan tak sokong untuk mengadakan PRN Johor kerana pada masa ini kita kena fokus kepada Covid-19 dan banjir yang melanda negeri-negeri khususnya Johor.

“Oleh itu, kita kena utamakan nyawa rakyat dan ia lebih penting daripada PRN.

“Kita katakan mesti fokus kepada mengawal penularan Covid-19 khususnya varian Omicron yang kita tidak tahu kaedah pengawalannya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan di Menara PGRM, hari ini.

Khabar angin mulai tersebar mendakwa PRN Johor akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas kerajaan negeri kini hanya mempunyai majoriti kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang 27.

UMNO semalam berkata, pihaknya bersedia untuk menghadapi PRN Johor jika Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam waktu terdekat.

Perkara itu dizahirkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, jentera pilihan raya UMNO di Johor juga bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku PRN Johor jika desas-desus mengenainya menjadi kenyataan.

Nada sama turut diberikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan pembangkang turut bersedia sekiranya PRN Johor benar-benar akan berlaku. – MalaysiaGazette