Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Puchong Selangor di Balai Rukun Tetangga Taman Seri Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 15 JANUARI 2022.

SERDANG – Yayasan Bank Rakyat (YBR) akan membuka permohonan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) fasa pertama bagi tahun ini kepada pelajar yang terkesan daripada bencana banjir pada bulan lalu untuk mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada bantuan YBR kepada golongan pelajar itu bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sijil kemahiran, diploma kemahiran atau akademik, ijazah sarjana muda, professional dan sarjana di universiti awam serta swasta di dalam negara .

“Untuk fasa pertama, YBR telah memperuntukkan sebanyak RM3.81 juta bagi pembiayaan pendidikan ini kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun dan telah mendapat tempat di institusi pengajian tinggi.

“PPBU ini terbuka kepada pelajar yang terkesan banjir di seluruh negara sama ada baru hendak melanjutkan pelajaran atau sudah berada di tahun pengajian,” katanya.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Puchong Selangor di Balai Rukun Tetangga Taman Seri Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 15 JANUARI 2022.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis sumbangan YBR kepada 53 keluarga mangsa banjir di sini hari ini.

Megat Zulkarnain menambah, permohonan PPBU itu akan dibuka bermula 15 Februari ini sehingga 15 Mac depan.

Jelasnya, sejak penubuhannya pada tahun 2007, YBR telah menyediakan peruntukan pembiayaan pendidikan lebih dari RM165 juta sebagai komitmen dalam bidang pendidikan demi memastikan anak-anak yang merupakan aset negara berupaya melanjutkan pengaji tinggi.

“Sehingga kini, pembiayaan pendidikan YBR telah memberi manfaat kepada 5,964 pelajar dari pelbagai latar belakang dan sosioekonomi dan seramai 3,830 graduan telah menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi serta membuktikan komitmen YBR dalam mengekalkan kesan jangka panjang terhadap sektor pendidikan,” katanya.

Sementara itu, permohonan PPBU YBR boleh dilakukan melalui laman web di www.yayasanbankrakyat.com.my. – MalaysiaGazette