Datuk Lokman Noor Adam.

KUALA LUMPUR – Polis akan merakam keterangan Datuk Lokman Noor Adam pada 18 Januari ini untuk membantu siasatan dakwaan memfitnah dan mengaibkan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menerusi video di media sosial.

Bagaimanapun tempoh masa proses mengambil percakapan daripada Presiden Laskar Siber Malaysia itu belum ditetapkan lagi, kata Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

Menurutnya, polis masih menunggu maklumbalas daripada Lokman untuk mendapatkan pengesahan waktu kehadirannya ke IPD Sepang.

“Untuk makluman, Lokman Adam akan datang (IPD Sepang) pada Selasa 18 Januari 2022.

“Dia sendiri akan mengesahkan balik kepada polis nanti (waktu kehadiran),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai bila Lokman akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Semalam, Wan Kamarul Azran mengesahkan pihaknya berjaya mendapatkan perintah untuk siasat (OTI) kes itu selepas dirujuk daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Ketua pengarah itu juga membuat laporan polis difitnah mangsa di IPD Ampang Jaya namun ia dirujuk ke IPD Sepang kerana pengadu melihat video itu di rumahnya di Dengkil.

“Kita sudah dapat OTI kes itu namun Lokman masih belum dipanggil lagi.. Ketua Bahagian Siasatan jenayah kami (IPD Sepang) belum hubungi dia (Lokman) untuk tampil dirakam keterangan,” katanya.

Menurutnya, kes yang diuruskan oleh Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor itu perlu dilakukan secara berhati-hati.

Baru-baru ini dalam kes berkenaan Mohd Na’im menghantar notis tuntutan saman kepada Lokman kelmarin kerana didakwa memfitnah dan mengaibkan Hakim Mahkamah Syariah itu.

Peguam Mohd Na’im, Datuk Akberdin Abdul Kader dipetik berkata, anak guamnya turut membuat laporan di IPD Ampang Jaya kelmarin bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu berkaitan dakwaan seorang wanita menjadi mangsa gangguan seksual Hakim Mahkamah Syariah itu.-MalaysiaGazette