Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof . Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis masih belum memanggil Datuk Lokman Noor Adam untuk diambil keterangan berhubung dakwaan memfitnah dan mengaibkan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung kes gangguan seksual seorang balu menerusi video di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata pihaknya telah mendapat perintah untuk siasat (OTI) kes itu selepas kes berkenaan diterima daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Ketua pengarah itu juga membuat laporan polis difitnah mangsa di IPD Ampang Jaya, namun ia dirujuk ke IPD Sepang kerana pengadu melihat video itu di rumahnya di Dengkil.

“Kita sudah dapat OTI kes itu namun Lokman masih belum dipanggil lagi.. Ketua Bahagian Siasatan jenayah kami (IPD Sepang) belum hubungi dia (Lokman Adam) untuk tampil dirakam keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kes yang diuruskan oleh Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor itu perlu dilakukan secara berhati-hati.

Sebelum ini media tempatan melaporkan hakim kanan yang sedang disiasat polis itu telah menghantar notis tuntutan saman kepada Lokman kelmarin kerana memfitnah dan mengaibkan Hakim Mahkamah Syariah itu.

Peguam yang mewakili Mohd Na’im, Datuk Akberdin Abdul Kader dipetik berkata, anak guamnya turut membuat laporan di IPD Ampang Jaya kelmarin bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette