Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang hakim kanan yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita yang juga isteri orang telah membuat laporan balas terhadap dakwaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan perkara berkenaan.

“Ada (laporan polis balas berkaitan dakwaan gangguan seksual),” katanya.

Namun, beliau tidak memperincikan dengan lebih lanjut bila laporan polis itu dibuat.

Tambahnya, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.

Media semalam melaporkan, polis menyiasat seorang hakim kanan selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita pada Ogos 2020.

Kejadian tersebut didakwa berlaku ketika suspek datang ke rumah mangsa di mana suaminya sedang terlantar sakit.

Suspek didakwa meminta izin untuk solat tetapi apabila lelaki terbabit mengambil masa terlalu lama di dalam bilik, mangsa mendapati suspek sedang berbaring dalam keadaan bogel.

Terdahulu, sebuah akaun Twitter dikenali Edisi Siasat telah memuat naik satu ciapan berserta gambar dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.

“Seorang lgi (lagi) jantan gatal yg (yang) sering buat gangguan seksual terhadap wanita terutamanya isteri orang,” ciap akaun itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Siasatan ke atas hakim lakukan gangguan seksual masih diteruskan