isham jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Yang melompat parti dan mengkhianat mandat rakyat, itulah pengkhianat.

Itu kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil membidas kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal yang dikenali sebagai Peja.

Peja sebelum itu keliru dengan maksud pengkhianat yang dinyatakan oleh Isham dalam satu kenyataannya kepada media.

“YB Peja, usah keliru dan pening-pening kepala. Maksud pengkhianat parti itu mudah sahaja. Yang melompat parti dan mengkhianat mandat rakyat,” kata Isham dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberi contoh di Pagoh,  daripada 23,558 pengundi yang mengundi Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRU-14 yang lepas, lebih daripada separuh atau dalam 12,000 daripada itu adalah pengundi Cina yang telah mengundi Muhyiddin yang bertanding atas tiket PH.

“Adakah YB rasa 12, 000 pengundi Cina ini berpuas hati dan rasa tidak dikhianati apabila Muhyiddin lompat parti (keluar PH)? Dan adakah YB rasa 12, 000 pengundi Cina ini masih sokong dan akan undi Muhyiddin semula?

“Jika tidak, maksudnya Muhyiddin kini tidak lagi disokong oleh lebih separuh daripada pengundi yang telah mengundinya dahulu.

“Ini juga bermakna, walaupun dia masih Ahli Parlimen di Pagoh, tetapi hakikatnya dia tidak lagi ada majoriti di Pagoh dan telah hilang legitimasi moral untuk mewakili rakyat Pagoh sebagai wakil rakyat di dalam atau di luar Dewan (Rakyat),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Isham, kerajaan yang dibentuk tanpa mandat rakyat yang hanya boleh diperoleh melalui pilihan raya tidak akan stabil dan ia cenderung kepada kegagalan.

“Dua tahun lepas, kerajaan telah dibentuk melalui Langkah Sheraton tanpa mandat rakyat kerana pilihan raya tidak boleh dilaksanakan akibat wabak Covid-19 yang mula merebak tanpa adanya benteng pertahanan seperti vaksinasi yang ada kini.

“Selepas dua tahun dan dengan peratusan vaksinasi yang tinggi serta selepas hampir semua sektor ekonomi telahpun dibuka, kita telah adakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Melaka dengan keadaan wabak yang terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kenyataan Faizal mengenai tiada keperluan untuk diadakan PRN adalah tidak senada dengan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dulu rakan YB yang galak mengugut untuk tekan butang jatuhkan kerajaan Johor. Sekarang apa sudah jadi?

“Jika di Sarawak dan Melaka boleh diadakan pilihan raya, apakah yang menghalang dan menjadi alasan untuk tidak mengadakan PRN di Johor selepas musibah banjir ini reda?

“Mengapa di Melaka dan Sarawak boleh tetapi di negeri-negeri lain tidak boleh pula sedangkan di negeri tersebut keadaan majoriti yang amat tipis menyukarkan pentadbiran kerajaan untuk membantu rakyat?” soalnya.

Isham berkata, PRN hanya tidak boleh diadakan berdasarkan apabila ia memudahkan ahli-ahli politik dan menteri.

“Ia perlu diadakan apabila mandat rakyat perlu diperoleh untuk memberi legitimasi kepada kerajaan dengan secepat mungkin seperti yang diperlukan sekarang.

“Sebab itu, untuk menyelesaikan masalah ini kita perlu kembalikan semula mandat kepada rakyat melalui pilihan raya untuk menentukan legitimasi wakil-wakil rakyat yang mewakili mereka supaya kerajaan yang dibentuk adalah lebih stabil dan berlegitimasi agar pemulihan ekonomi negara dapat dibuat dengan lebih cepat dan berkesan melalui dasar-dasar yang lebih diyakini,” katanya.

Isham berkata, tidak perlu mana-mana pihak cuba untuk melambat-lambatkan proses mendapatkan mandat rakyat ini.

“Mereka berdegil ingin berpaut kepada jawatan kerajaan sehingga habis penggal tahun depan pula.

“Kita perlu buat pilihan raya sebaik sahaja wabak Covid-19 dan musibah banjir ditangani dan reda dalam tempoh beberapa bulan tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Isham turut berkata, akta lompat parti perlu digubal selepas pilihan raya.

“Ini penting supaya puak-puak pelompat dan pengkhianat parti ini tidak lagi boleh mengganggu-gugat kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Selagi isu mandat ini tidak selesai selagi itu pelabur tidak akan yakin untuk melabur, dan selagi itu pemulihan ekonomi negara akan terbantut,” katanya lagi.

Sebelum ini, UMNO menerusi mesyuarat  peringkat bahagian di Johor bersetuju jika PRN Johor diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Lebih 80 peratus daripada 31 ahli Parlimen Bersatu adalah pelompat parti, sebahagian daripada mereka menjadi menteri. -MalaysiaGazette