Presiden dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU Datuk Norman Abdul Halim diiringi Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid menyampaikan sijil kepada salah seorang pelatih.

CYBERJAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama dengan Yayasan KRU untuk menyediakan latihan Social E-Commerce bagi memperkasakan ilmu keusahawanan digital kepada kumpulan belia daripada keluarga B40.

Menerusi Program Kita Jaga Kita, latihan tersebut mensasarkan untuk melahirkan 100 orang usahawan dalam kalangan mahasiswa daripada golongan itu sepanjang tahun ini.

Ketua Eksekutif PTPTN Dasuki Abdul Majid berkata, kerjasama strategik itu diharapkan dapat membantu belia peminjam PTPTN daripada keluarga B40 menceburi bidang keusahawanan demi meningkatkan ekonomi keluarga.

Katanya, sebagai agensi yang cakna dan prihatin, PTPTN sentiasa menyantuni dan menyelami isu-isu masyarakat bagi membantu mereka yang memerlukan terutama ketika pandemik Covid-19 masih lagi memberi ancaman kesihatan dan ekonomi kepada masyarakat.

“Semoga dengan inisiatif ini dapat meningkatkan imej positif PTPTN dalam masyarakat dan merapatkan hubungan antara PTPTN dengan golongan belia terutama pinjaman PTPTN,” kata Dasuki.

Sementara itu Presiden dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, pihaknya telah melancarkan program “Kita Jaga Kita” sejak 1 Jun tahun lalu.

“Pihak Yayasan berterima kasih kepada PTPTN kerana membantu kumpulan pertama seramai 20 orang belia warga Malaysia menyertai program ini sekaligus melayakkan mereka mendapatkan pensijilan professional bertaraf antarabangsa,” kata Norman pada majlis penyampaian sijil baru-baru ini.

Kesemua 20 pelatih menerima sijil tamat latihan dan akreditasi dari badan profesional Adobe Certified Professional-Premiere Pro.

Latihan telah dijalankan selama sebulan secara hibrid dan merangkumi modul berkaitan keusahawanan digital dan penerbitan kandungan kreatif.

Program berkenaan diharapkan dapat memberi impak kepada pelatih dalam mengembangkan perniagaan yang sedang atau akan diusahakan dari segi penghasilan karya kreatif, penguasaan kemahiran teknikal, penjenamaan produk dan penjenamaan peribadi usahawan terbabit.

Yayasan KRU berharap mereka bukan saja menjadi usahawan yang berjaya tetapi menjadi pencipta kerjaya dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada belia yang lain.

Majlis turut dihadiri oleh Naib Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Muhammad Razlan Ismail; Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid serta Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar.

Untuk maklumat lanjut berkaitan pendaftaran sebagai sukarelawan, rakan strategik dan permohonan program latihan, sila layari laman sesawang www.yayasankru.org.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast