Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (kanan) mengadakan pertemuan bersama Pengerusi SPP yang baharu, Datuk Seri Mazlan Yusoff (kiri) baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk segera menyelesaikan pengambilan khas guru secara one-off.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini bagi membolehkan 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dapat diselesaikan sebelum sesi persekolahan akan datang bermula.

“Ia merupakan antara usaha KPM bagi memperkasakan sektor pendidikan, tentang pengambilan guru baharu bagi institusi bawah KPM.

“Malah ia juga penting bagi menyediakan guru berkualiti yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan jawatan sedia ada.

“Terima kasih SPP kerana telah selesai menjalankan temuduga bagi pengambilan khas ini dan sebahagian daripada calon berjaya telah menerima tawaran lantikan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Ujarnya, perkara itu merupakan antara isu utama dalam perbincangan beliau ketika menerima kunjungan Pengerusi SPP yang baharu iaitu Datuk Seri Mazlan Yusoff di pejabatnya hari ini.

Mohd Radzi menambah, antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah berkenaan pelantikkan guru secara Contract of Service dan guru interim.

“Perbincangan juga turut melibatkan guru interim bagi mata pelajaran bahasa Inggeris lantikan tahun 2019 yang akan tamat kontrak pada bulan April ini.

“Saya mohon supaya SPP dapat menyegerakan segala urusan temuduga kumpulan calon guru ini. Begitu juga dengan urusan lantikan bagi guru interim mata pelajaran Pendidikan Islam serta guru interim JPN Sabah dan Sarawak yang mana kontrak mereka juga akan tamat tahun ini,” katanya.

Selain itu, Radzi berkata, pertemuan itu turut menyentuh mengenai keluhan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi pengambilan khas itu.

“Berdasarkan maklum balas SPP, terdapat lebihan graduan pendidikan bagi mata pelajaran tertentu, termasuk graduan PAKK. Perkara ini akan diteliti oleh KPM dan SPP.

“Selain guru, kami turut membincangkan tentang pengambilan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang perlu disegerakan bagi membantu melancarkan pengoperasian sekolah,” ujarnya. – MalaysiaGazette