Abdul Majid Mohd Ali (berdiri kiri) menunjukkan mercun yang dirampas di sebuah banglo di Bukit Cina, Jumaat lalu.

MELAKA – Taktik tiga lelaki menjual pelbagai jenis bunga api dan mercun yang diimport dari China menggunakan perkhidmatan kurier tumpas susulan penahanan tiga lelaki dalam satu serbuan di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 27 dan 29 tahun ditahan Bahagian Khas Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira jam 7 petang.

Menurut beliau, semua mereka ditahan di sebuah rumah banglo di Bukit Cina yang disewa khas sebagai stor simpanan mercun dan minuman keras tidak bercukai sejak enam bulan lalu sebelum ianya dijual kepada pelanggan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina awal bulan depan.

Abdul Majid berkata, susulan tangkapan itu, polis memburu seorang lagi suspek yang dipercayai perancang utama aktiviti berkenaan, selain merampas merampas 146 kota mercun dan bunga api, 11 karton serta 13 botol minuman keras dipercayai tidak bercukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) keseluruhannya dianggarkan bernilai RM150,000.

“Kita percaya, lelaki tempatan berusia 29 tahun itu adalah ketua kumpulan ini yang menjadi perancang utama mendapatkan bekalan mercun dan bunga api ini secara kurier dari negara China.

“Kumpulan ini turut dikesan membeli mercun dan bunga api daripada peniaga tempatan berlesen sebelum menjualnya kepada pembeli sekitar Melaka secara dalam talian melalui sosial media Facebook” katanya pada sidang media di IPK Melaka di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Azlan Abu dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette