Jaami Qureshi. Foto Facebook FAM.
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya tiada usaha untuk memastikan pemain remaja yang berpangkalan di England, Jaami Qureshi diberi peluang mewakili negara.
Sebaliknya FAM menerusi Sekretariat Agungnya, berkomunikasi secara terus dengan bapa pemain itu, Perviz Qureshi serta Pengurus Akademi Brighton & Hove Albion, John Morling.
Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu berkata, ia merupakan usaha  dalam membincangkan panggilan ke pusat latihan bagi skuad Bawah 19 tahun kebangsaan menjelang Kejohanan Asia AFC Bawah 19 tahun yang sepatutnya diadakan di Uzbekistan pada 2020.
“Perviz juga pernah mengadakan pertemuan dengan bekas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam membincangkan status anaknya pada 2020.
“Menerusi bebenang komunikasi di antara FAM dan Qureshi sekitar Julai 2020, bapa pemain itu mahu Jaami diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal daripada jurulatih Brad Maloney ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mohd. Saifuddin menambah, pada masa sama, Wan Ahmad Kuzri Ahmad Kamal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, mematuhi proses kuarantin selepas menyatakan kesediaan pulang ke tanah air bagi menjalani latihan bersama skuad Bawah 19 tahun dan dinilai dari segi kemahiran teknikal sebagai usaha meyakinkan panel kejurulatihan bahawa beliau layak dipertimbangkan.

“Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM tidak akan berkompromi dalam mematuhi peraturan, garis panduan dan undang-undang kerajaan berhubung proses kuarantin berkaitan Covid-19 serta taraf kerakyatan untuk mana-mana individu bagi semua peringkat umur pasukan kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette