KUALA LUMPUR – Cadangan pindaan Akta Akta Tabung Angkatan Tentera (TAT) merupakan asas penting yang bakal memacu transformasi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ke peringkat seterusnya agar ia dapat mengukuhkan tadbir urus dan menambahbaik kerangka pelaburan mengikut perumpukan aset strategik (SAA).

Kerangka baru ini bakal menjamin pulangan yang mampan dan kompetitif kepada pencarumnya, yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman berkata, sejak Jun tahun lepas, LTAT telah memainkan peranan aktif dalam menerajui sesi libat urus bersama pihak berkepentingannya agar transformasi LTAT diselaraskan dengan teras Pelan Strategik Kementerian Pertahanan 2022 (PT22).

Sinergi bersama Kementerian Pertahanan ini amat penting agar transformasi LTAT dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi mengukuhkan perlindungan sosial serta menjamin kelangsungan hidup masa hadapan anggota tentera.

Antara inisiatif penambahbaikan Akta TAT yang bakal memanfaatkan pencarumnya:

• Pindaan di bawah Seksyen 12 akan membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka setelah bersara kelak, dan baki yang masih tersimpan di dalam LTAT layak menerima dividen;

• Pindaan di bawah Seksyen 15 akan memastikan pelaburan yang dijalankan LTAT adalah berdasarkan kepada kerangka perumpukan aset strategik (SAA) serta polisi pelaburan bagi memberi pulangan dividen yang lebih kompetif dan mampan kepada pencarum;

• Mewujudkan peruntukan seksyen baru bagi mendapatkan jaminan kerajaan ke atas simpanan persaraan pencarum LTAT, sama seperti jaminan kerajaan terhadap simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (LTH).

Selain daripada pindaan yang disenaraikan, penambahbaikan Akta TAT juga mengukuhkan tadbir urus LTAT sebagai dana persaraan seperti menetapkan kewajipan berjaga-jaga (duty of care) kepada ahli lembaga, pengurusan dan pegawai LTAT untuk melindungi kepentingan pencarumnya, serta menambahkan komposisi ahli bebas panel pelaburan yang terdiri daripada individu yang berpengalaman dan berwibawa dalam aspek pelaburan. – MalaysiaGazette