Penduduk Kampung Kebun Baru dan Ladang Byram berharap kerajaan negeri Pulau Pinang segera menyelesaikan isu pencemaran udara akibat kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

NIBONG TEBAL – Penduduk Kampung Kebun Baru dan Ladang Byram berharap kerajaan negeri Pulau Pinang segera menyelesaikan isu pencemaran udara akibat kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Rata-rata mereka  rasa kurang selesa tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini memandangkan tiada tempoh tetap diberikan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Menurut Siti Muslihah Kamaruddin, 28, dia berdepan kekangan untuk pergi kerja memandangkan pengasuh anaknya antara penduduk terjejas yang tinggal di PPS.

Siti Muslihah.

“Agak sukar untuk pengasuh jaga anak di PPS kerana ia bukan selesa seperti di rumah selain memerlukan dia menjaga anak sendiri juga.

“Saya harap pihak berwajib khususnya kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah pencemaran udara akibat kebakaran kerana saya berdepan risiko hilang pendapatan jika tidak pergi kerja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di PPS Sekolah Kebangsaan Saujana di sini hari ini.

Sementara itu, Norafizah Mohd Ramli, 42, berkata, walaupun pelbagai kemudahan disediakan di PPS namun berharap mereka boleh pulang ke rumah masing-masing secepat mungkin.

Norafizah.

“Kami akur untuk pindah demi kesihatan dan keselamatan masing-masing tapi kami juga berharap dapat pulang segera kerana tiada tempoh masa diberikan untuk pihak berkaitan selesaikan isu pencemaran udara itu.

“Selain itu, kami juga berharap kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan sewajar kan bagi memastikan perkara yang tidak berulang lagi,” jelasnya yang menetap di Kampung Kebun Baru.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati masih terdapat penduduk yang enggan berpindah dengan alasan bimbang keselamatan rumah serta tidak tahu sehingga bila perlu tinggal di PPS.

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain membuat tinjauan di tapak pelupusan sampah itu memberi jaminan kepada penduduk yang terkesan agar tidak bimbang dengan keselamatan rumah masing-masing.

Mohd Shuhaily (kiri) meninjau tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal.

“Polis yang bertugas, Unit Rondaan Bermotosikal dan Unit Kereta Peronda Daerah Seberang Perai Selatan akan membuat rondaan berkala di kawasan perumahan penduduk yang telah diarahkan berpindah.

“Ia bagi memastikan keselamatan rumah penduduk terjamin selain tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast