Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media ketika selesai Program Eksklusif bersama YAB Perdana Menteri dan Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Hotel Marriott, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 19 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya boleh ditentukan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad sebelum mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pilihan raya juga terletak di bawah kuasa Menteri Besar Johor.

“PRN Johor terserah kepada Kerajaan Negeri Johor yang menentukan. Kalau Menteri Besar rasa perlu ada pilihan raya, maka dia menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

“Jadi keputusan itu adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Johor.

“Malah UMNO waktu mesyuarat tempoh hari kita serahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor agar Menteri Besar buat keputusan,” katanya kepada pemberita di Marriot Hotel, di sini, malam ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memberi bayangan untuk mempertimbangkan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor susulan kerajaan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi.

Kedudukan Kerajaan Negeri Johor yang mempunyai majoriti amat tipis dengan hanya satu kerusi boleh membuatkan kerajaan negeri dikhuatiri bertambah tidak stabil.

Susulan kematian bekas ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lepas, kerajaan negeri yang kini dipimpin Barisan Nasional (BN) mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), Pas (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi. – MalaysiaGazette