Mysejahtera casual contact Covid-19
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) tidak akan berkompromi dengan pengamal perubatan swasta (PPS) dan badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) atau polisi ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

ProtectHealth berkata, penekanan itu dibuat susulan beberapa laporan media berkaitan aktiviti penjualan sijil vaksinasi palsu.

“Sehubungan itu, ProtectHealth menggalakkan orang ramai untuk menjadi pemberi maklumat iaitu melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera sekiranya mereka mengesyaki sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Ini boleh bertindak sebagai penghalang untuk mencegah sebarang penipuan dalam prosedur pemberian vaksin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas ProtectHealth, semua PPS di bawahnya adalah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan fasiliti kesihatan mereka adalah berlesen di bawah KKM.

Katanya, ProtectHealth sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak berkepentinvan menerus Program Imunisasi Covi-19 Kebangsaan (PICK).

“Ini bagi adalah syarat penerimaan ke dalam PICK bagi memastikan PPS dan NGO kesihatan adalah sahih dan termaktub dalam akta yang berkaitan.

“Selain itu, PPS dan NGO kesihatan juga diwajibkan menghadiri latihan sebelum dibenarkan memberi vaksinasi dan menerima garis panduan yang terkini secara berkala daripada ProtectHealth dan KKM,” katanya.

Selain itu, bagi memastikan PPS dan NGO kesihatan di bawah ProtectHealth melaksanakan perkhidmatan yang berkualiti dan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh KKM, audit rawak ke atas PPS dijalankan secara berkala.

ProtectHealth turut memberi amaran, sebarang ketidakpatuhan berkaitan kualiti akan diambil tindakan sewajarnya dan mungkin menggantung PPS dan NGO kesihatan daripada menjalankan vaksinasi dalam PICK.

“Pasukan audit perubatan kami juga menjalankan siasatan sekiranya menerima sebarang aduan atau terdapat anomali data yang dipantau oleh ProtectHealth.

“Selain itu, vaksin hanya diberikan melalui mekanisme terkawal oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) kepada PPS dan NGO kesihatan mengikut kiraan janji temu yang dikeluarkan oleh MySejahtera.

“Semua vaksinasi direkodkan bersama nombor siri vaksin, pengenalan diri penerima dan pemberi vaksin,” katanya.

Justeru, ProtectHealth tidak bertolak ansur sekiranya terdapat PPS dan NGO kesihatan didapati melakukan sebarang salah laku yang berkaitan dengan aktviti seumpama ini dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya didapati terlibat. – MalaysiaGazette