Noor Farhanum di Ngeteh Cafe miliknya di pesisir pantai di Alor Gajah, Melaka.

ALOR GAJAH – Pada tahun lalu, dia pernah putus asa dan hampir menutup perniagaan kedai kopi di belakang rumah pusaka orang tuanya kerana hanya mendapat jualan RM10 sehari.

Ketika itu, jualan sehari paling tinggi pernah dicatat hanyalah RM50. Itu pun hasil ihsan saudara mara dan jiran kampung yang simpati melihat kedai kopi kampung diusahakan seperti ‘hidup segan mati tak mahu.’

Kini, selepas hampir enam bulan beroperasi, siapa sangka kedai kopi Ngeteh Cafe yang terletak di pesisir pantai dimiliki Noor Farhanum Nordin, 21, kini mampu menjana pendapatan kasar sehingga RM20,000 sebulan.

Noor Farhanum

Ibu seorang anak itu juga tidak menyangka usahanya bersama suami, Muhammad Iman Khairulnizam, 21, mampu berada di tahap sekarang walaupun usia kedai baharu setahun jagung.

Apatah lagi kedudukannya di ceruk kampung yang jauh daripada jalan utama di Melaka.

“Ngeteh Cafe ini sebenarnya ‘lahir’ setelah suami kehilangan hilang kerja akibat Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 menyebabkan kami hilang arah mencari pendapatan.

“Bermodalkan RM6,000 yang dikumpul hasil simpanan selain berjimat cermat ‘ikat perut’, kami membeli sebuah mesin kopi dan peralatan diperlukan untuk membuka kafe ini.

“Malah, sebahagian meja kayu yang ada di sini juga suami dan ayah hasilkan sendiri menggunakan kayu-kayu terpakai kerana tidak mempunyai modal yang besar untuk permulaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengimbau kembali peniagaan yang diusahakannya pada Julai 2021, Noor Farhanum pernah hampir menutup perniagaan yang baru berusia sebulan kerana tidak tahan dengan kritikan ‘pedas’ pelanggan mengenai kualiti minuman yang dijual.

“Mula-mula dulu susah juga hendak dapatkan rasa dan kualiti kopi yang dibru segar demi memenuhi selera pelanggan menyebabkan saya tidak tahan dikritik di laman sosial.

“Mujurlah suami tidak cepat putus asa dan terus memberikan semangat sehinggalah tiga bulan kemudian dia dapat menguasai cara pembuatan kopi yang menepati selera pelanggan.

“Alhamdulillah, hari ini Ngeteh Cafe yang turut menyediakan menu siap masak seperti nasi lemak, lasagna, brownies, menerima pelanggan yang tidak putus-putus daripada dalam dan luar Melaka,” katanya.

Menurutnya, antara minuman kopi disediakan ialah Americano, Iced Latte, Iced Caramel Latte, Iced Caramel Macchiato, Iced Green Tea, Iced Chocolate, Iced Vanilla dan Blue Sparkling.

“Kami juga mempunyai beberapa menu makanan termasuk Taufufa, Brownies, Cheesetart, Lasagna dan nasi lemak yang dihasilkan oleh penduduk kampung di sini.

“Harga minuman di sini bermula antara RM5 sehingga RM7, manakala makanan RM4 sehingga RM15,” katanya.

Tambahnya, hasil sambutan baik yang diterima, dia yang kini mempunyai lima pekerja bercadang untuk membuka cawangan kedua Ngeteh Cafe.

“Perancangan itu memang ada dan sedang mencari lokasi sesuai kerana mahu berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat terutamanya mereka yang terjejas akibat Covid-19,” katanya sambil menambah kedainya beroperasi setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 3 hingga 7 malam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast