KUALA LUMPUR – Seorang pakar kesihatan awam, Dr Sathia Prakash Nadarajan menggesa kerajaan untuk lebih proaktif dalam mencari kaedah penganjuran majlis atau perayaan berikutan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Thaipusam yang agak ketat baru-baru ini.
Katanya, pelaksanaan SOP yang ketat ketika fasa endemik sudah tidak relevan malah ia akan menyebabkan masyarakat kecewa dan bosan.
“Janganlah tindak tanduk kerajaan yang sepatutnya bertujuan baik akhirnya hanya mengecewakan masyarakat kita. Ini seperti ‘berat sebelah’ kerana ada kalanya SOP tidak masuk ‘akal’.
“Negara kita berada dalam fasa endemik. Kita sepatutnya melangkah ke depan dengan membuka lebih banyak sektor. Bukannya mundur ke belakang dari hari ke hari seperti ini. Lihat apa jadi ketika Thaipusam baru-baru ini?
“Seorang menteri Kabinet sendiri tampil meluahkan kekecewaan masyarakat India dengan SOP Thaipusam secara terbuka. Sampai begitu sekali,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Dr Sathia yang juga pengasas rangkaian klinik SP Care Group berkata, adalah tidak wajar SOP ketat dilaksanakan setiap kali perayaan tiba.
“Saya beri contoh lebih mudah seperti sambutan Thaipusam, kerajaan tidak boleh ambil jalan mudah dengan menghadkan kehadiran penganut,” ujarnya.
Berikutan itu, beliau mencadangkan ujian saringan Covid-19 dilakukan 48 jam sebelum dibenarkan masuk ke rumah ibadat atau majlis keraian, seperti mana kaedah yang digunakan untuk melawat ke luar negara.
“Selepas ini kita ada Tahun Baru Cina, dan satu lagi perayaan Hindu (Panguni Uthiram) pada 18 Mac yang turut disambut di kuil seluruh negara khususnya di Kuil Sri Marathandavar Aalayam di Pahang akan melibatkan hampir setengah juta penganut.
“Kemudian tidak lama selepas itu kita ada juga bulan puasa di ikuti Hari Raya Puasa, adakan kerajaan akan larang atau kenakan SOP ketat lagi dengan alasan tidak logik?” ujarnya. – MalaysiaGazette
SOP Thaipusam: Masyarakat India kecewa dengan kerajaan – Saravanan