Tindakan seorang penyamun bersembunyi hampir setengah jam dalam tangki air di tingkat empat sebuah rumah pangsa mengelak dicekup polis akhirnya diberkas di Melaka kelmarin.

MELAKA – Tindakan seorang penyamun bersembunyi hampir setengah jam dalam tangki air di tingkat empat sebuah rumah pangsa mengelak dicekup polis akhirnya diberkas di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, turut ditahan dalam operasi pukul 1 pagi itu adalah tiga lagi rakannya.

Tiga individu berusia 32, 34 dan 43 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun bersenjata di negeri ini sejak minggu lalu.

Kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Bukit Beruang dan Taman Saujana Seksyen 3, Bukit Katil oleh sepasukan polis dari Cawangan (D9) Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

“Tangkapan dilakukan susulan polis menerima tiga laporan membabitkan samun bersenjata parang di kawasan Ayer Keroh dan Batu Berendam pada 9 hingga 15 Januari lalu.

“Hasil risikan mendapati suspek warga tempatan menyasarkan lelaki dan wanita warga asing untuk melakukan samun menyebabkan mangsa berusia 20 hingga 40-an kerugian wang tunai, telefon bimbit serta beberapa dokumen penting,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Christopher Patit

Menurut Christopher, dalam tangkapan pertama,  polis terpaksa meminta bantuan pasukan bomba apabila suspek lelaki berusia 35 tahun bertindak bersembunyi di dalam tangki air di tingkat empat rumah pangsa.

“Selepas hampir 30 minit bersembunyi, suspek akhirnya berjaya diberkas sebelum dibawa ke balai polis. Hasil tangkapan, polis berjaya merampas dua buah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun, dua bilah parang, empat unit telefon bimbit dan pakaian suspek,” katanya.

Tambah beliau, dengan tumpasnya kumpulan bersenjatakan parang itu, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun pada awal tahun ini.

Semua suspek direman sehingga esok bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 394, 395/397 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette