Kon Yeow pada sidang media di Komtar. - Gambar Ihsan FB CKY

GEORGE TOWN – Syarikat pengurusan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. berdepan tindakan penamatan konsesi sekiranya didapati gagal mematuhi perjanjian yang termaktub menerusi tender terbuka.

Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. dikatakan sudah mula menguruskan tapak pelupusan sampah itu sejak lima tahun lalu dan mempunyai kontrak konsesi selama 20 tahun.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada pihak Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berhubung kejadian kebakaran yang berlaku sejak 12 Januari lalu menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) semalam.

“Daripada laporan yang dibentangkan pihak kami percaya ada kelemahan berlaku dari segi pengoperasian di tapak pelupusan sampah itu.

“Exco melalui MMK telah mengarahkan pihak BKT serta MBSP untuk melihat bentuk tindakan yang boleh diambil selanjutnya sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan terma dalam konsesi,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, pemadaman api di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini, berjalan lancar apabila 75 peratus api dipadamkan di kawasan tersebut setakat hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, pihak bomba masih menggunakan kaedah pengeboman air dari udara (water bombing) untuk proses pemadaman api dengan bantuan helikopter AW 189 dari Pangkalan Udara Subang.

Difahamkan, proses pengeboman air dari udara dilakukan pada sebelah pagi dan petang membabitkan 26 kali pancutan hingga berjaya pemadaman api sebanyak 40 peratus.

Secara keseluruhan 75 peratus api berjaya dipadamkan dalam tempoh dua hari bermula semalam. – MalaysiaGazette