Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik pengumuman ahli-ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan akan memastikan perkhidmatan dan operasi hariannya tetap berjalan lancar seperti biasa.

Sebagai institusi kewangan yang menyediakan kemudahan bagi umat Islam di negara ini untuk menyimpan wang bagi mengerjakan ibadat haji, sokongan dan kepercayaan masyarakat amat penting untuk TH meneruskan mandatnya.

Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, proses RCI ini akan mengukuhkan lagi TH sebagai institusi kewangan Islam negara dan antarabangsa yang telah lama berkhidmat dengan rekod yang cemerlang semenjak 1963.

“Alhamdulillah, dengan usaha semua pihak, TH terus mencapai beberapa kemajuan kebelakangan ini dan kini berada pada landasan kewangan dan operasi yang baik dan kukuh.

”Jumlah simpanan deposit yang dijamin oleh kerajaan telah mencecah RM83.3 bilion pada 31 Disember 2021.

”Jumlah ini adalah yang tertinggi didalam sejarah TH walaupun keadaan ekonomi dan pasaran yang mencabar akibat wabak Covid-19 sejak dua tahun yang lalu” tambah beliau.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri  Amrin Awaluddin berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya berdasarkan lunas-lunas perundangan bagi kelancaran proses RCI.

“Operasi harian, aktiviti pelaburan serta perkhidmatan yang disediakan TH kepada para pendeposit tetap berjalan seperti biasa. TH juga yakin, hasil dapatan dan pandangan daripada ahli-ahli RCI akan dapat membantu menambah baik aspek tadbir urus dan pengurusan TH pada masa hadapan,” jelas beliau.

Semalam kerajaan mengumumkan pelantikan enam ahli RCI yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan TH dalam tempoh 2014 hingga 2020. – MalaysiaGazette