new record Covid-19 booster dose daily cases
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Terdapat peningkatan kes baharu pada Minggu Epidemiologi (ME) 3/2022, bermula 16 Januari hingga 22 Januari lalu berdasarkan indikator yang digunakan untuk mengukur jangkitan Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan peningkatan 7.9 peratus apabila 23,752 kes dilaporkan sepanjang tiga minggu pertama 2022.

Bagaimanapun menurutnya, jumlah kes kematian menunjukkan penurunan iaitu 19.0 peratus apabila 102 kes dilaporkan minggu lalu berbanding ME 2/2022, manakala purata kes aktif, 40,473 kes.

“Purata kes aktif turut dilihat meningkat 2.4 peratus dengan purata 39,507 kes (ME 2/2011) kepada 40,473 kes (ME 3/2022).

“Bagaimanapun, kes kematian menunjukkan penurunan yang konsisten sebanyak 19.0 peratus dengan 102 kematian pada ME 3/2022 berbanding 126 kematian pada ME 2/2022. Penurunan ini dicatatkan mulai ME 52/2021.

“Purata kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan penurunan 30.3 peratus iaitu 129 kes (ME 3/2022) berbanding 185 kes (ME 2/2022),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penurunan kes ICU secara konsisten dilaporkan mulai ME 33/2021 dengan sedikit peningkatan kepada kes ICU pada ME 44/2021 dan penurunan semula kes ICU secara konsisten dicatatkan sejak 10 minggu lalu pada ME 45/2021.

Tambahnya, selain itu, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 23.5 peratus iaitu 52 kes (ME 3/2022) berbanding 68 kes (ME 2/2022).

Katanya, purata itu kekal menunjukkan trend penurunan sejak 22 minggu lalu bermula ME 33/2021.

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya mendapati, purata nilai kebolehjangkitan (RT) Covid-19 meningkat 0.02 peratus daripada 0.99 pada ME 2/2022 kepada 1.01 pada ME 3/2022. – MalaysiaGazette