PRN Johor
Bendera Negeri Johor. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2022.

KULAI – Dengan paluan gendang perang di Johor, parti-parti politik kini giat melakukan percaturan dan rundingan dengan rakan seangkatan untuk memenangi pilihan raya negeri.

Timbalan Ketua DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan rundingan antara parti komponen pada Isnin untuk mencapai kesepakatan dan PH juga berharap kerjasama dengan MUDA untuk menghadapi pilihan raya dapat dimuktamadkan secepat mungkin.

Beliau berkata, walaupun konflik akan timbul dalam semua rundingan pengagihan kerusi, tetapi masing-masing perlu bersikap pragmatik dalam proses ini.

“Adalah mustahil untuk PH mendapat hasil yang lebih baik berbanding pilihan raya negeri yang lalu.

“Kalau hanya berpegang kepada impian sendiri, maka semua rundingan akan memasuki jalan mati,” katanya dipetik Sinchew Daily selepas menghadiri satu majlis Tahun Baharu Cina di Kulai, Johor.

Menurutnya, parti pembangkang tidak boleh berpecah jika mereka tidak mahu mengulangi kekalahan di Melaka dan Sarawak sebelum ini.

“Berdasarkan persetujuan awal, kerusi yang telah menang biasanya tidak akan dirundingkan lagi.

“Titik permulaan rundingan DAP justeru merupakan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi kami sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong dilaporkan Nanyang Siang Pau bahawa parti itu belum memutuskan logo yang akan digunakan dalam pilihan raya negeri kerana perkara itu masih dirundingkan.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata, partinya akan menyertai pilihan raya Johor dan juga pilihan raya umum secara menyeluruh.

Menurutnya, Perikatan Nasional (PN) setakat ini belum mengadakan rundingan pengagihan kerusi, tetapi jentera parti telah digerakkan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor lagi.

Jelasnya, tiada soal perebutan kerusi dalam PN kerana apa yang lebih penting adalah kemenangan.

“Gerakan pernah mempunyai satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN di Johor, tetapi di bawah semangat PN, kami bersetuju menghantar calon yang boleh menang untuk bertanding,” katanya seperti dipetik China Press. – MalaysiaGazette